Lawatan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) ke Kilang Suffy

Picture8

 

IPOH:Program Galakan Eksport Bumiputera (GEB) merupakan satu bentuk usaha bagi meningkatkan bilangan serta keupayaan eksport perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Bumiputera yang berpontensi menembusi pasaran antarbangsa.

Menurut Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI),Datuk Ahmad Maslan ia merupakan kerjasama kerajaan melalui SME Corp Malaysia dengan kerjasama MARA dengan menyediakan geran dan pinjaman kepada syarikat yang layak.

“Setiap syarikat yang layak untuk menerima geran berjumlah RM500,000 dan RM5juta pinjaman.

“Geran yang layak dipohon di bawah program GEB ini adalah untuk penubuhan pejabat operasi di luar negara, aktiviti promosi dan pemasaran di luar negara, pembangunan jenama, kajian pasaran dan lain-lain lagi,” katanya dalam satu sidang media sejurus lawatannya ke dua syarikat PKS bumiputera Perak.

Tambahnya lagi, agensi dibawah Miti seperti MATRADE turut menyediakan pelbagai bantuan dan program kepada usahawan-usahawan bumiputera untuk menembusi pasaran eksport.

Terdahulu beliau melawat dua syarikat PKS bumiputera Perak iaitu syarikat WS Pottery Sdn Bhd pengeluar dan pengeksport produk seramik dan syarikat My Suffy iaitu pengeluar produk susu formula bayi.

“Syarikat WS Pottery yang teletak di Chepor telah mengeksport produk mereka ke negara Amerika Syarikat dan United
Kingdom dengan jualan pada tahun 2016 mencecah sebanyak RM1.5 juta.

“Manakala Syarikat My Suffy juga telah mengeksport produk mereka ke Brunei dengan jualan terkini mencatatkan RM7.5juta dan juga merupakan penerima bantuan geran BEEP Negeri Perak dari eSME Corp Malaysia.

Jelasnya ia membuktikan bahawa PKS bumiputera mampu untuk bersaing di peringkat antarabangsa sekiranya dibantu secara bersepadu dan komprehensif oleh agensi-agensi kerajaan.

Turut hadir bersama dalam lawatan itu Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Hal Ehwal Pengguna, Datuk Samsudin Abu Hasan dan Pengarah SME Corp Malaysia Negeri Perak,Mohamad Rozlan Mohamad Razalli.

PKS Bumiputera disaran supaya merebut peluang mengembangkan pasaran eskport mereka menerusi bantuan dan saluran disediakan pihak agensi Miti.